XINBA memiliki aura tersendiri menjana pendapatan jualan di media sosial.
XINBA memiliki aura tersendiri menjana pendapatan jualan di media sosial.
Agensi

Beijing: Dalam tempoh 12 jam, penjual dalam talian dari China ini memperoleh lebih AS$300 juta (RM1.242 bilion) hasil jualan secara penstriman langsung, malah jumlah itu jauh lebih menguntungkan daripada perolehan sebuah pusat beli-belah terkemuka.

Xin Youzhi atau Xinba yang diberi jolokan 'raja jualan penstriman langsung China' mencatat transaksi itu dalam sesi jualan tunggal pada 27 Mac lalu apabila ia mengatasi jualan setahun (pada 2020) bagi pusat beli-belah, Times Square di Causeway Bay, Hong Kong yang menjual barangan berjenama.

Beroperasi di bawah platform Kuaishou, usahawan muda itu pakar dalam mempromosi pelbagai jenis produk kepada lebih 40 juta pengikutnya dan sentiasa bersemangat menarik perhatian mereka membeli seberapa banyak barang.

Kejayaan terkini itu dicatat pada pada hari pertama pengoperasian semula Kuaishou selepas digantung 60 hari kerana didapati mempromosikan sarang burung tiruan.

Xinba tidak seperti penjual penstriman langsung lain yang memfokuskan jualan terhadap barang tertentu, sebaliknya dia mempromosikan apa sahaja produk yang dapat dijual, dari tilam ke alat serta produk kecantikan, malah telefon bimbit.

Walau jumlah diperoleh bukan rekod terbaik, dan angka itu tidak termasuk pemulangan semula barang dan pengembalian wang, tetapi ia tetap pencapaian mengagumkan.

Selain menggunakan taktik penjualan dan pemasaran berkesan, dia juga bijak menarik perhatian pembeli dengan menggunakan sentimen masa lampau sebagai anak petani di perkampungan kecil wilayah timur laut China.

Kekerapan berkongsi perjalanan hidupnya sehingga mampu berjaya membuatkan orang lain lebih tertarik dan mempercayainya untuk membeli barangan itu.

Dia juga dilaporkan menderma jutaan ringgit untuk membantu penduduk di Wuhan ketika awal pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:31 AM