FOTO HIASAN NSTP
FOTO HIASAN NSTP
Agensi

Bangkok: Thailand berhasrat untuk mempromosikan penggunaan ganja dalam makanan dan kosmetik dalam usahanya untuk menarik pelancong asing.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan negara itu menandatangani perjanjian untuk memperkenal latihan dan kaedah untuk menghasilkan makanan dan produk daripada ganja.

Thailand menjadi antara negara pertama di Asia yang membenarkan penggunaan ganja perubatan pada 2019.

Ia sekali gus melonggarkan peraturan bagi membenarkan penggunaannya dalam tekstil, produk kosmetik herba dan produk makanan.

Bangkok Post sebelum ini melaporkan pihak yang mahu mengeluarkan, menjual atau memiliki ganja di Thailand boleh mendaftar untuk berbuat demikian mulai 29 Januari lalu.

Selain itu, pihak berkuasa berhasrat untuk mengeluarkan ganja daripada senarai bahan terlarang.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand sebelum ini menyatakan bahawa daun, akar dan batang tumbuhan itu, antara yang akan dikeluarkan dari senarai bahan terlarang Jenis 5.

Bagaimanapun, kelonggaran itu tidak akan terpakai pada biji benih dan bunga tumbuhan itu yang mempunyai kandungan dadah yang tinggi.

Selain itu, individu tidak dibenarkan untuk menanam ganja.

Mulai 29 Januari, individu, entiti dibenarkan, pejabat kerajaan dan syarikat komuniti dibenarkan untuk mendaftar penggunaan bahagian ganja yang dibenarkan untuk digunakan dalam perubatan, tekstil, farmaseutikal dan industri kosmetik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 11:23 AM