SAIZ habuk pemadam berbanding bola besbol yang dikumpul dalam tempoh lima tahun. FOTO Agensi
SAIZ habuk pemadam berbanding bola besbol yang dikumpul dalam tempoh lima tahun. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Habuk pemadam biasanya dibuang namun seorang remaja lelaki di China mengumpulnya sejak 11 tahun lalu hingga menjadi seperti bola yang beratnya melebihi satu kilogram (kg).

Guang Ying, 18, yang pernah dilaporkan media ketika masih bersekolah di tahun lima susulan kegemaran pelik itu, mengakui dia tidak pernah berhenti mengumpul habuk pemadam sehingga sekarang.

Dalam pendedahan itu, Guang menunjukkan habuk pemadam yang disimpan selama lima tahun berjaya membentuk seperti bola besbol.

Namun, dalam laporan terkini media Jepun yang menemui kembali Guang, mendedahkan habuk berkenaan sudah menjadi 'bola kelabu' yang beratnya melebihi 1kg.

Oddity Central melaporkan Guang melumur bola berkenaan dengan minyak masak dan membalut ia dengan plastik supaya mudah untuk menampal habuk baharu.

Kegigihan remaja terbabit selama bertahun dipuji, malah Guang memberitahu bola habuk pemadam itu ibarat bola bertuah kepadanya kerana dia mampu berjaya dalam pelajaran.

Dia juga memberitahu tidak berhasrat untuk berhenti daripada tabiat itu dan berharap dapat diikuti anaknya kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:31 AM