TANGKAP layar daripada video dikongsi Pasukan Pertahanan Awam Waiapu.
TANGKAP layar daripada video dikongsi Pasukan Pertahanan Awam Waiapu.
Agensi

Wellington: New Zealand mengeluarkan amaran melarang penduduknya menghampiri kawasan pantai berikutan ancaman yang masih berlaku di beberapa wilayah, susulan gempa sehingga 8.1 skala Richter, awal pagi hari ini.

Namun, pada 1.30 tengah hari waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia), penduduk berpindah sudah dibenarkan kembali ke penempatan masing-masing selepas gelombang besar berakhir.

Menteri Pengurusan Kecemasan Kiri Allan dilapor NZ Herald menyifatkan ia pagi yang sangat luar biasa buat penduduk dengan ramai yang bangun seawal 2.30 pagi waktu tempatan dan bimbang mengenai rumah serta keluarga mereka.

Ia berikutan tiga gempa bumi besar di wilayah Pasifik - satu di pantai timur New Zealand dan dua berhampiran Kermadec, semuanya berkekuatan sehingga 8.1 skala Richter yang membawa kepada amaran tsunami, khususnya kawasan Northland, Bay of Plenty dan Pantai Timur.

Belum ada sebarang pemberitahuan untuk penduduk di Auckland yang berdekatan pantai berpindah, namun di bawah ancaman perairan dan pantai, mereka dilarang menghampiri kawasan itu.

Allan turut memuji penduduk Kepulauan North yang pantas berpindah dan melakukannya dengan sangat baik.

"Mereka tahu perlu ke tempat tinggi apabila merasakan gegaran yang kuat dan panjang," katanya yang memberitahu penilaian ke atas penduduk yang perlu meninggalkan rumah dilakukan mengambil kira 'ancaman terhadap nyawa'.

Sebelum memberi kebenaran untuk penduduk pulang, seluruh bandar Opotiki dikosongkan, ribuan penduduk dari bandar lain pula berpindah ke tempat tinggi.

Allan menggelarnya sebagai 'peristiwa dinamik' yang terus berkembang, dengan pasukan pertahanan awam diaktifkan untuk memimpin penduduk di lapangan.

"Penduduk melakukan perkara yang sepatutnya dengan mengemas, berkumpul dan secara keseluruhannya kekal tenang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 10:10 AM