GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Abu Dhabi: Liga Dunia Islam (MWL) berterima kasih kepada kerajaan Sri Lanka yang bersetuju untuk tidak membakar mayat pesakit Covid-19 beragama Islam di negara itu.

Setiausaha Agungnya, Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al Issa berkata, keputusan itu bersesuaian dengan ajaran Islam supaya mayat umatnya tidak dibakar.

Menerusi perbualan telefon dengan Menteri Luar Sri Lanka, Dinesh Gunawardena, Al Issa berkata, beliau yakin keputusan itu secara tidak langsung mengukuhkan hubungan dua hala antara MWL dengan negara berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Sri Lanka menyatakan yang negara itu akan membakar jenazah pesakit Covid-19 beragama Islam biarpun keluarga mangsa menentang dasar kontroversi terbabit.

Kerajaan pimpinan Presiden Gotabaya Rajapaksa mendakwa pengebumian pesakit Covid-19 akan menyebabkan pencemaran air bawah tanah.

Ketua Epidemiologi Sri Lanka, Sugath Samaraweera juga berkata, pakar memberi amaran kepada kerajaan bahawa pengebumian mangsa Covid-19 akan mencemarkan air.

Bagaimanapun, dasar berkenaan mendapat reaksi tidak senang dalam kalangan umat Islam.

Majlis Islam Sri Lanka menyatakan majoriti mangsa Covid-19 di negara itu adalah Muslim dan kebanyakan mereka takut untuk mendapatkan rawatan sekiranya positif virus itu.

Ini kerana mereka tidak mahu mayat mereka dibakar jika meninggal dunia.

Beberapa keluarga Islam dan Katolik, pakar kesihatan dan ketua agama kemudian mencabar polisi itu di Mahkamah Persekutuan supaya kerajaan menunjukkan bukti pengebumian menyebabkan pencemaran air.

Mahkamah bagaimanapun menolak semua petisyen itu.

Disember tahun lalu, pembakaran mayat bayi berusia 20 hari tanpa izin keluarganya turut mencetuskan kemarahan orang ramai.

Ia meskipun ibu bapa bayi itu negatif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:31 AM