GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Dhaka: Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen menjelaskan bahawa bukan kewajipan negaranya untuk melindungi 81 pelarian Rohingya yang terkandas hampir dua minggu di Laut Andaman.

Jumaat lalu, jurucakap kerajaan India berkata, pengawal pantai menemui bot nelayan yang sesak dengan pelarian berkenaan dan lapan daripada mereka sudah meninggal dunia.

Kerajaan India juga sudah berhubung dengan kerajaan Bangladesh bagi urusan penempatan semula semua pelarian berkenaan, selepas mereka memberi bantuan awal makanan dan perubatan.

Bagaimanapun, Momen berkata, pihaknya mengharapkan India selaku negara terdekat dengan lokasi mereka terkandas atau Myanmar iaitu negara asal pelarian itu menerima mereka.

"Mereka bukan warga Bangladesh dan hakikatnya mereka adalah warga Myanmar yang ditemui pada jarak 1,700 kilometer (km) dari wilayah maritim Bangladesh

"Jadi, kami tidak ada kewajipan untuk menerima mereka yang ditemui kira-kira 147 km dari wilayah India dan 324 km dari Myanmar.

"Adakah Bangladesh menandatangani kontrak global untuk menerima dan melindungi semua pelarian Rohingya atau orang yang menaiki bot di seluruh dunia? Negara dan pertubuhan lain perlu melindungi pelarian ini," katanya.

Katanya, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sepatutnya bertanggungjawab kerana kebanyakan penumpang bot berkenaan adalah pemegang kad UNHCR.

"Jika (pelarian itu) adalah pemegang kad UNHCR, mengapa mereka membenarkan penyeludup manusia mengambil kad mereka dan menggunakan jalan laut yang merbahaya serta boleh mengakibatkan kematian," katanya.

Dalam pada itu, setakat ini, pegawai UNHCR atau kerajaan India masih belum dapat dihubungi bagi mendapatkan komen lanjut.

Untuk rekod, bot membawa 90 pelarian Rohingya itu meninggalkan Bangladesh pada 11 Februari lalu dan dipercayai menuju ke Langkawi, Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 8:05 PM