ORANG ramai menyertai tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa di Myanmar. FOTO AFP
ORANG ramai menyertai tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa di Myanmar. FOTO AFP
BERNAMA

Washington: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan kepada dua individu kerana mempunyai kaitan dengan rampasan kuasa tentera di Myanmar, lapor Agensi Berita Sputnik, memetik kenyataan Jabatan Perbendaharaan.

"Hari ini, Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS mengenakan sekatan terhadap dua individu yang dikatakan mempunyai kaitan dan bertanggungjawab atas rampasan kuasa di Myanmar.

"Perbendaharaan mengambil tindakan ini sebagai tindak balas terhadap tindakan pasukan keselamatan Myanmar menyebabkan kematian penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan secara aman," kata kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, sekatan dikenakan kepada Leftenan Jeneral Moe Myint Tun dan Jeneral Maung Maung Kyaw.

Selepas kudeta, tentera Myanmar mengumumkan kedua-duanya dilantik anggota Majlis Pentadbiran Negara.

Setiausaha Negara Antony Blinken berikrar AS akan mengambil lebih banyak tindakan jika kuasa tidak dikembalikan.

"AS akan terus bekerjasama dengan gabungan rakan-rakan antarabangsa untuk memastikan pemimpin kudeta dan mereka yang menjadi punca keganasan bertanggungjawab atas perbuatan itu. Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan keganasan dan mengenepikan kehendak rakyat," kata Blinken dalam satu kenyataan.

Pada 1 Februari, tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa, mengumumkan perintah darurat setahun dan menuduh Parti Liga Demokratik Kebangsaan menipu dalam pilihan raya umum 8 November.

Tentera berkata mereka komited terhadap sistem demokrasi dan berikrar mengadakan pilihan raya baharu yang adil selepas darurat tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:19 PM