Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi kini direman dan akan diadili mengikut undang-undang Myanmar. Foto AFP
Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi kini direman dan akan diadili mengikut undang-undang Myanmar. Foto AFP
Agensi

Yangon: Kes membabitkan Presiden Myanmar U Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi akan dilaksana selaras dengan undang-undang, kata seorang pegawai kanan tentera ketika sidang media di Nay Pyi Taw semalam.

"Aung San Suu Kyi dan U Win Myint ditahan di tempat yang selamat dan berada dalam keadaan sihat," kata ketua pasukan media Majlis Pentadbiran Negeri dan Timbalan Menteri Maklumat Brigadier Jeneral Zaw Min Tun, pada sidang media pertama majlis itu selepas kuasa negara diserahkan kepada Panglima Angkatan Tentera Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing.

Beberapa urusan perlu ditangani dengan mengambil tindakan undang-undang dan majlis tidak akan melakukan perkara yang melampaui undang-undang, menurut Min Tun lapor Agensi Berita Xinhua.

Perbicaraan mahkamah maya pertama Presiden dan Suu Kyi yang direman dalam tahanan diadakan pada semalam, kata peguam kedua-dua pemimpin, Khin Maung Zaw.

Suu Kyi awalnya didakwa mengikut Undang-Undang Eksport dan Import, manakala satu kes tambahan diajukan kemudian terhadapnya kerana melanggar Undang-Undang Pengurusan Bencana Alam.

Presiden juga dituduh melanggar Undang-undang Pengurusan Bencana Alam, kata peguam itu.

Perbicaraan berikutnya akan diadakan pada 1 Mac, kata peguam itu.

Perintah darurat dikenakan selama setahun di negara itu selepas tentera Myanmar pada 1 Februari lalu melancarkan rampasan kuasa dan menahan Suu Kyi dan Win Myint dari Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) atas tuduhan menipu undi ketika 8 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan Myanmar menolak tuduhan itu.

Awal bulan ini, Majlis Pentadbiran Negeri membuat perubahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan, untuk menyemak semula proses pilihan raya umum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 12:05 PM