TUNJUK perasaan membantah rampasan kuasa Tentera Myanmar. FOTO AFP
TUNJUK perasaan membantah rampasan kuasa Tentera Myanmar. FOTO AFP
BERNAMA

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Rabu menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan sekatan terhadap pemimpin tentera Myanmar yang bertanggungjawab dengan rampasan kuasa di negara Asia itu, lapor Agensi Anadolu.

Biden berkata, 'peringkat pertama' akan dikenal pasti minggu ini, menyasarkan pemimpin tentera yang 'mengarahkan rampasan kuasa, kepentingan perniagaan mereka, dan juga ahli keluarga rapat mereka'.

"Tentera mesti mengembalikan kuasa yang dirampasnya dan menghormati kehendak rakyat Myanmar seperti yang dinyatakan dalam pilihan raya 8 November mereka," kata Biden di Rumah Putih, mengulangi seruan kepada Tamtadaw, gelaran rasmi untuk tentera Myanmar, supaya membebaskan pemimpin politik dan masyarakat awam yang ditahan semasa rampasan kuasa.

Biden berkata, pentadbirannya sudah memulakan langkah-langkah yang akan menghalang panglima tentera "daripada mengakses dana kerajaan Myanmar bernilai AS$1 bilion (kira-kira RM4 bilion) di AS."

"Kami membekukan aset AS yang menguntungkan kerajaan Myanmar sambil mengekalkan sokongan untuk penjagaan kesihatan, kumpulan masyarakat awam dan kawasan-kawasan lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Myanmar," katanya.

Protes anti-kudeta di jalan raya Myanmar memasuki hari kelima pada Rabu meskipun polis mengambil tindakan keras dan telah mengakibatkan dua kematian.

Beberapa penunjuk perasaan cedera, dua kritikal, setelah polis di ibu negara pentadbiran Myanmar, Nay Pyi Taw, melepaskan tembakan meriam air dan peluru getah ketika berhadapan penunjuk perasaan pada Selasa. Ia kejadian pertama sejak tunjuk perasaan anti-kudeta bermula.

Protes berskala besar berterusan di Yangon dan bandar-bandar di seluruh negara itu pada Rabu. Pada masa sama, kakitangan kerajaan berbaris sebagai menyokong bantahan awam yang dimulakan oleh pekerja kesihatan.

Biden berkata arahan kekerasan terhadap penunjuk perasaan 'menunjukkan hak demokrasi mereka tidak diterima'.

"Rakyat Myanmar mahu suara mereka didengari, dan dunia sedang memerhatikan," katanya memberi amaran.

Tentera Myanmar mengisytiharkan darurat pada 1 Februari, menahan Presiden Win Myint, Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, dan pemimpin kanan lain dari parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dengan alasan menipu undi dalam pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 1:56 PM