GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Seoul: Haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing yang menunjukkan gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas ditawarkan menjalani ujian Covid-19 sekiranya ia terdedah dengan pembawa, kata pihak berkuasa Seoul.

Program berkenaan diperkenalkan beberapa minggu selepas negara itu melaporkan kes pertama jangkitan Covid-19 membabitkan haiwan iaitu anak kucing.

"Bermula hari ini, pihak berkuasa Seoul menawarkan ujian Covid-19 untuk haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing," kata Park Yoo-mi, pegawai yang mengendalikan kes kawalan penyakit di Seoul.

Katanya, ujian hanya dihadkan untuk haiwan yang menunjukkan gejala termasuk demam, batuk, kesukaran bernafas dan hidung berair, selepas mempunyai kontak dengan manusia yang disahkan positif virus berkenaan.

Ujian dikendalikan di kediaman yang menempatkan haiwan itu oleh sekumpulan kakitangan kesihatan termasuk doktor haiwan.

Haiwan disahkan positif perlu diasingkan di rumah selama 14 hari namun sekiranya hanya pemilik haiwan disahkan positif, haiwan itu dihantar ke lokasi lain.

Di Korea Selatan, mereka yang disahkan positif Covid-19 ditempatkan di kemudahan kuarantin berpusat sekiranya tidak memerlukan rawatan hospital.

Kes jangkitan Covid-19 turut membabitkan haiwan di seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya dua gorila di Zoo San Diego disahkan positif virus berkenaan dipercayai dijangkiti daripada pekerja zoo yang tidak menunjukkan gejala.

Di Denmark, varian mutasi virus berkenaan menyerang ladang mink tahun lalu, menyebabkan pemusnahan haiwan berkenaan terpaksa dilakukan secara besar-besaran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 6:31 AM