GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Agensi

Singapura: Hanya sekitar 50 peratus rakyat Malaysia kembali bekerja di Singapura walaupun perjalanan rentas sempadan dibenarkan sejak lima bulan lalu.

Akhbar The Straits Times yang memetik pelbagai persatuan peniaga, melaporkan bahawa industri republik itu sangat bergantung kepada pekerja dari seberang tambak, terutama sektor pembinaan serta perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).

Presiden Persatuan Kontraktor Pengubahsuaian dan Pembekal Bahan Singapura, Sky Tan berkata, hanya 50 peratus pekerja Malaysia kembali bekerja.

"Mungkin ramai daripada mereka merancang untuk kembali ke Singapura selepas Tahun Baharu Cina kerana kos kuarantin yang agak tinggi di sini," katanya.

Ujian Covid-19 dan arahan notis duduk di rumah selama 14 hari di Singapura menelan belanja SG$2,125 (RM6,481) yang perlu dibayar ketika memohon dan tidak akan dibayar kembali oleh majikan.

Firma kontraktor pengubahsuaian adalah antara yang terjejas teruk berikutan 80 peratus daripada pekerja mahirnya adalah dari Malaysia, malah sebahagian syarikat berkenaan terpaksa ditutup tahun lalu.

Sky berkata, pengubahsuaian akan menjadi semakin mahal berikutan kos buruh yang tinggi bagi pekerja mahir Malaysia yang kini perlu membayar untuk tempat tinggal di Singapura.

Sebelum wabak Covid-19, ramai daripada mereka berulang-alik setiap hari dari Malaysia ke Singapura untuk bekerja.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:32 AM