AUSTRALIA lulus suntikan vaksin Covid-19 Pfizer. FOTO AFP
AUSTRALIA lulus suntikan vaksin Covid-19 Pfizer. FOTO AFP
AFP

Sydney: Pengawal selia perubatan Australia meluluskan secara rasmi vaksin Covid-19 Pfizer dengan dos pertama akan diberi selewat-lewatnya bulan hadapan, kata Perdana Menteri, Scott Morrison.

The Therapeutic Goods Administration (TGA) memperoleh kelulusan ke atas produk Pfizer, sekali gus menjadi vaksin Covid-19 pertama yang mendapat lampu hijau di negara itu.

"Ini bukan kelulusan kecemasan sebaliknya sudah dilakukan penilaian pelbagai pihak di seluruh dunia.

"Kelulusan rasmi ini adalah proses biasa TGA dan kami adalah antara negara pertama melakukan proses yang komprehensif dan teliti untuk memastikan vaksin itu diluluskan," kata Morrison kepada wartawan, semalam.

Australia sudah memperoleh jaminan sebanyak 10 juta dos daripada Pfizer, cukup untuk melakukan program vaksin ke atas lima juta penduduknya, dengan petugas kesihatan dan warga emas dijangka akan menjadi kumpulan pertama menerima suntikan.

Morrison juga menjelaskan ia akan 'bermula dengan kecil' sekitar lewat Februari ini berbanding pertengahan bulan hadapan seperti yang dijanjikan kerajaan sebelum ini. Ia disebabkan cabaran penghasilan dan penghantaran di peringkat global.

Katanya, program vaksin itu juga akan diselesaikan menjelang Oktober ini.

Ini bermakna Australia akan mula menyuntik vaksin Covid-19 Pfizer selepas Amerika Syarikat (AS) dan United Kindom (UK) walaupun sebelum ini Morrison merancang untuk meletakkan negaranya sebagai negara paling hadapan melaksanakan usaha berkenaan.

Penularan Covid-19 itu mengakibatkan 909 kes kematian dengan 28,700 kes di negara yang mempunyai populasi 25 juta itu.

Negara itu juga sudah mendapat jaminan akan menerima lebih 59 juta dos vaksin daripada Oxford/AstraZeneca dengan kebanyakannya akan dibangunkan dalam negara, namun ketika ini TGA masih belum memberikan kelulusan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:32 AM