PETUGAS hospital melaksanakan solat jenazah buat mangsa Covid-19 yang meninggal dunia di Hospital Bogor, Jawa Barat. FOTO AFP
PETUGAS hospital melaksanakan solat jenazah buat mangsa Covid-19 yang meninggal dunia di Hospital Bogor, Jawa Barat. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Jakarta merancang untuk melaksanakan semula sekatan separa seawal Isnin nanti kerana bimbang peningkatan kes baharu akan menyebabkan hospital di bandar berkenaan 'tumbang'.

Bandar mega dengan penduduk mencecah 30 juta itu akan menyaksikan penutupan bangunan pejabat, masjid besar selain restoran dan tempat hiburan.

Namun, pengangkutan awam akan diteruskan dengan masa perkhidmatan yang terhad.

Pengumuman itu dibuat selepas tiga bulan sekatan pergerakan ditarik semula.

"Pentadbiran Jakarta membuat keputusan untuk 'mengangkat brek' serta kembali melaksanakan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB)," kata Gabenor Jakarta, Anies Baswedan.

Katanya, jika tiada tindakan kawalan diambil, hospital di ibu kota itu akan dibanjiri pesakit seawal minggu depan.

"Selepas itu, kemudahan kesihatan di Jakarta mungkin lumpuh," katanya.

Sehingga kini, lebih 100 doktor di Indonesia meninggal dunia akibat Covid-19 termasuk 15 di Jakarta.

Sehingga kini, Jakarta merekodkan lebih 50,000 kes jangkitan Covid-19 dengan lebih 1,350 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 8:15 PM