KESAN kemusnahan akibat Taufan Ian di Pantai Fort Myers, Florida. FOTO AFP
KESAN kemusnahan akibat Taufan Ian di Pantai Fort Myers, Florida. FOTO AFP
AFP

Washington: Angka kematian rasmi akibat Taufan Ian, yang melanda tenggara Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, meningkat kepada sekurang-kurangnya 62 mangsa.

Taufan Ian, salah satu ribut paling kuat melanda AS, memusnahkan seluruh kawasan kejiranan dan memutuskan talian elektrik dan jambatan ketika ia mendarat di pantai barat daya Florida, Rabu lalu.

Ribut yang dicetuskan dengan angin dan hujan lebat menyebabkan kawasan kejiranan pedalaman tenggelam dengan pasukan mencari dan menyelamat terus mencari mangsa.

Selepas menyeberangi Florida, Ian menuju ke Atlantik, namun berpatah balik dan mendarat semula di Carolina Selatan sebagai ribut Kategori 1, serta membawa hujan lebat dan angin kencang ke Carolina Utara.

Suruhanjaya Pemeriksa Perubatan Florida mengesahkan, 58 kematian disebabkan taufan itu.

Sementara itu, Gabenor Carolina Utara, pada Sabtu lalu berkata, empat orang meninggal dunia akibat taufan itu.

Pengawal Pantai AS berkata, pihaknya menangguhkan misi mencari dan menyelamat 16 pendatang yang hilang, selepas bot mereka karam semasa taufan itu melanda.

Dua lagi yang berada di dalam kapal itu sebelum ini ditemukan mati, manakala sembilan termasuk empat warga Cuba yang berenang ke pantai di Florida Keys berjaya diselamatkan.

Kematian yang disahkan di Florida datang dari lapan daerah berbeza, walaupun jumlah tertinggi setakat ini ialah 42 di Lee County yang dikelilingi bandar Fort Myers, serta beberapa pulau penghalang yang popular dengan pelancong dan pesara.

Penduduk Matlacha, John Lynch,59, berkata, mereka kini buntu untuk melakukan langkah selanjutnya selepas kawasan mereka terputus dengan tanah besar akibat jambatan rosak.

Katanya, insiden itu menyedihkan kerana mereka sekeluarga merancang menghabiskan sisa hidup di situ.

"Saya tiada rancangan. Tetapi saya perlu bersiap untuk pergi ke tempat selamat kerana rumah saya tenggelam ke dalam laut," katanya yang menetap di situ selama 25 tahun.

Dalam pada itu, Presiden AS Joe Biden dijangka melawat Puerto Rico bagi meninjau kerosakan akibat Taufan Fiona yang melanda dua minggu lalu, sebelum melawat kemusnahan Florida pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 10:11 AM