BANGUNAN Moderna di Norwood, Massachusetts. FOTO fail AFP
BANGUNAN Moderna di Norwood, Massachusetts. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Ujian ke atas manusia bagi vaksin HIV menggunakan teknologi mRNA (messenger asid ribonukleik) sudah dimulakan, kata firma bioteknologi Moderna dan Inisiatif Vaksin Aids Antarabangsa (IAVI), pada Khamis.

Menerusi Fasa 1, ujian dilaksanakan dalam kalangan 56 orang dewasa sihat di Amerika Syarikat (AS) yang negatif HIV.

Doktor masih belum dapat membangunkan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti virus yang mengakibatkan Aids walaupun sudah empat dekad penyelidikan dijalankan dengan ratusan ribu orang maut seluruh dunia setiap tahun.

Bagaimanapun, harapan masih disandarkan kepada kejayaan teknologi mRNA yang digunakan dalam pembangunan vaksin Covid-19 termasuk satu vaksin dihasilkan Moderna.

Vaksin ini sedang diuji bagi menghasilkan keberkesanan simulasi antibodi yang dipanggil 'antibodi peneutralan secara meluas' atau bnAbs yang bertindak balas terhadap banyak varian HIV yang ada kini.

Vaksin ini kelak akan merangsang limfosit B yang menjadi sebahagian daripada sistem imun bagi menghasilkan daya tahan tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 9:43 AM