FERGUSON (dua dari kanan) bersama isteri dan anaknya. FOTO Agensi
FERGUSON (dua dari kanan) bersama isteri dan anaknya. FOTO Agensi
Agensi

New York: Seorang bapa dua anak tidak dibenarkan menjalani prosedur pemindahan jantung ekoran keengganannya menerima suntikan vaksin Covid-19.

DJ Ferguson memerlukan segera jantung baharu menerusi pembedahan selepas dia menderita masalah organ yang menyebabkan darah dan cecair memenuhi jantungnya.

Dia yang berusia 31 tahun itu berkata, hasrat untuk menerima jantung baharu sudah hampir tercapai, namun sekelip mata berubah selepas dia tidak mahu divaksin.

Pihak hospital bagaimanapun memaklumkan mereka hanya mematuhi polisi yang ditetapkan.

Bapanya, David menggelarkan Ferguson sebagai seorang yang berani.

"Anak saya hampir dengan kematian dan dia sudah begitu dekat dengan penghujung hayatnya.

"Saya anggap Ferguson sudah berlawan dengan berani dan tetap teguh dengan integriti dan prinsip hidupnya," kata David.

Ferguson sudah menerima rawatan di hospital sejak November lalu, dan menanti organ baharu.

Keluarganya berkata, mereka juga tidak pasti apa yang akan berlaku seterusnya memandangkan keadaan Ferguson yang begitu lemah.

Hospital Wanita Boston Brigham memaklumkan suntikan vaksin adalah prosedur wajib untuk sebarang pemindahan organ.

"Memandangkan kekurangan organ yang ada, kami melakukan sebaik mungkin untuk memastikan pesakit yang menerima organ mempunyai peluang untuk terus hidup.

"Seperti kebanyakan program pemindahan lain di Amerika Syarikat, vaksin Covid-19 adalah satu daripada beberapa vaksin yang diperlukan.

"Gaya hidup pesakit (adalah kriteria) diperlukan dalam sistem (pusat perubatan) Mass General Brigham untuk memastikan pembedahan berjaya dan pesakit boleh terus hidup dengan baik selepas pemindahan," katanya.

Hospital itu memaklumkan, kira-kira 100,000 orang berada dalam senarai menunggu untuk pemindahan organ tidak akan menerima organ dalam tempoh lima tahun kerana kekurangan organ.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS menekankan kesan sampingan daripada vaksin adalah jarang berlaku dan menggalakkan penerima organ dan mereka terdekat dengan pesakit mendapatkan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 7:01 AM