Biden. FOTO Reuters
Biden. FOTO Reuters
BERNAMA

Washington: Amerika Syarikat akan menganggap sebarang pergerakan Russia ke Ukraine sebagai 'pencerobohan', kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.

"Saya sudah jelaskan dengan Presiden (Vladimir) Putin: jika mana-mana unit (ketenteraan) Russia bergerak merentasi sempadan Ukraine, itu adalah pencerobohan," kata Biden kepada pemberita di Rumah Putih pada Khamis, lapor Sputnik.

Presiden AS itu menegaskan perkembangan sedemikian akan memberi tindak balas ekonomi yang teruk dan terkoordinasi.

Biden juga berkata, beliau sudah membincangkan langkah berpotensi yang akan diambil AS dan sekutunya sekiranya berlaku pencerobohan dan menyampaikannya kepada Putin.

"Tidak ada keraguan jika Putin membuat pilihan (pencerobohan) ini, Russia akan membayar harga yang mahal," katanya.

Russia berulang kali menolak dakwaan AS bahawa pihaknya bersiap sedia untuk menyerang Ukraine, sebaliknya menyifatkan ancaman sebenar ditimbulkan aktiviti ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di rantau itu.

Kremlin berkata, Russia tidak berniat untuk menyerang mana-mana negara dan menganggap tuduhan terhadapnya sebagai alasan untuk menempatkan peralatan dan infrastruktur tambahan Nato berhampiran sempadan Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 2:12 PM