BEALE (kiri) ditahan kerana membunuh Julia (kanan). FOTO OPSO
BEALE (kiri) ditahan kerana membunuh Julia (kanan). FOTO OPSO
Agensi

New Orleans: Seorang lelaki di Louisiana, Amerika Syarikat dituduh kerana memukul dan mencekik teman wanitanya sehingga mati sebelum memotong dan memasukkan tubuh mangsa ke dalam peti sejuk di dalam sebuah bas.

Benjamin Beale, 34, dituduh membunuh Julia Dardar selepas mayat wanita berkenaan ditemukan di dalam bas di luar rumah yang mereka diami.

Mahkamah menetapkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak 1 juta pound sterling (kira-kira RM5.7 juta).

Pertuduhan itu dibuat selepas bedah siasat terhadap wanita berusia 36 tahun itu.

Julia yang memiliki dua anak dikatakan sudah berpisah dengan suaminya, sebelum tinggal bersama Beale.

Bekas suaminya, Micah membuat laporan kehilangan wanita itu beberapa hari sebelum sambutan Hari Natal.

Ia selepas rakannya terserempak dengan Beale yang memandu kereta sendirian tanpa Julia, lapor Nola.com.

Micah memaklumkan pihak berkuasa, dia bimbang sesuatu berlaku kepada Julia yang berdepan dengan ketagihan syabu.

Siasatan polis terhadap Beale pada mulanya tidak berhasil, selepas lelaki itu mendakwa Julia sudah berpindah.

Ketika penggeledahan, polis menemui badan tanpa kepala, kepala, tangan dan bahagian badan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 6:50 AM