PENUMPANG melalui terminal di  Lapangan Terbang Antarabangsa Baltimore-Washington Thurgood Marshall (BWI) pada 22 Disember lalu. FOTO AFP.
PENUMPANG melalui terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Baltimore-Washington Thurgood Marshall (BWI) pada 22 Disember lalu. FOTO AFP.
Agensi

Washington: Amerika Syarikat (AS) akan menarik balik sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas lapan negara Afrika bagi mengekang penularan varian Omicron, menurut pegawai kanan kerajaan.

Sekatan perjalanan ke atas Afrika Selatan, Botswana, Zimbabwe, Namibia, Lesotho, Eswatini, Mozambique dan Malawi akan berakhir 31 Disember ini.

Pegawai itu berkata, keputusan dicadangkan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit, sebahagiannya kerana pakar kesihatan sedar bahawa vaksin Covid-19 AS yang sedia ada berkesan untuk mencegah gejala teruk bagi mereka yang dijangkiti Omicron.

Pegawai itu berkata pelancong dari negara Afrika juga tidak memberi kesan yang signifikan terhadap kes Covid-19 di AS, mengambil kira merebaknya Omicron di seluruh dunia.

Kerajaan AS menguatkuasakan sekatan berkenaan pada 29 November lalu selepas varian baharu itu ditemui di Afrika Selatan.

Presiden Joe Biden dikritik ketika itu oleh pakar kesihatan yang melihat sekatan perjalanan luar sebagai langkah tidak berkesan.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih Jen Psaki memberitahu wartawan pada Khamis bahawa larangan perjalanan itu "tidak pernah berniat kekal, ia bertujuan untuk sementara dan sudah tentu kita mahu menarik balik."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 8:51 AM