Foto hiasan
Foto hiasan
Agensi

Washington: Varian Omicron dilaporkan dikesan di sekurang-kurangnya 15 negeri di Amerika Syarikat (AS) dan dilaporkan terus menular, menurut Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Dr Rochelle Walensky.

"Kita tahu, kita mempunyai berbelas-belas kes dan kami sedang memantau rapi perkara ini. Dan setiap hari kami mendengar lagi dan lebih banyak kali kebarangkalian kes, jadi jumlah itu mungkin akan meningkat," lapor Sputnik memetik kenyataan Walensky ketika ditemu ramah televisyen ABC menerusi rancangan 'This Week' semalam.

Ketua CDC itu bagaimanapun menekankan, bahawa varian Delta masih terus menjadi kes utama Covid-19 di AS.

"Kami mempunyai 90,000 hingga 100,000 ribu kes sehari ketika ini di AS dan 99.9 peratus daripadanya adalah kes membabitkan varian Delta," kata Walensky.

Pada Jumaat, jumlah kes Omicron di AS meningkat kepada sembilan. Kes pertama varian itu di AS dikesan pada 1 Disember. Omicron mula dikesan di Afrika Selatan pada November lalu.

Pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini menyatakan Omicron mencetuskan kebimbangan baharu tetapi belum ke tahap mencemaskan.

Menurut pakar Covid-19 Rumah Putih, AS kini berada pada kedudukan lebih baik bagi menangani Omicron berbanding varian Covid-19 yang lain sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 3:39 PM