Pfizer. FOTO fail AFP
Pfizer. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Pfizer mula mengusahakan versi vaksin Covid-19 yang khusus menyasarkan varian Omicron sekiranya vaksin semasa tidak berkesan terhadap varian terbaharu itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Albert Bourla berkata syarikatnya mula menguji vaksin semasa terhadap varian Omicron, yang pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan dan mencetuskan semula kebimbangan terhadap gelombang global jangkitan Covid-19, lapor AFP.

"Saya tidak fikir hasilnya akan menunjukkan vaksin tidak memberi perlindungan.

"Tetapi ujian itu boleh menunjukkan bahawa yang sedia ada kurang melindungi, bermaksud kita perlu mencipta vaksin baharu.

"Jumaat ini, kami membuat acuan DNA pertama, yang juga perubahan pertama yang mungkin berlaku dalam proses pembangunan vaksin baharu," katanya.

Johnson & Johnson pada hari Isnin juga berkata,ia menghasilkan vaksin varian khusus bagi Omicron dan akan memajukannya mengikut keperluan.

Moderna, satu lagi pengeluar vaksin Covid-19 terkemuka memaklumkan ia sedang membangunkan suntikan penggalak terhadap varian baharu itu.

Bourla menyamakan keadaan itu dengan senario awal tahun ini apabila Pfizer dan rakan kongsi dari JermanBioNTech, membangunkan vaksin dalam 95 hari.

Terdapat kebimbangan formula sebelumnya tidak akan berkesan terhadap Delta, walaupun versi itu akhirnya tidak digunakan.

Katanya, vaksin semasa adalah sangat berkesan terhadap Delta, sambil menambah bahawa syarikatnya menjangkakan dapat menghasilkan empat bilion dos vaksin pada 2022.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin memberi amaran bahawa varian Covid-19 Omicron baharu menimbulkan risiko sangat tinggi di seluruh dunia.

Bourla berkata dia juga sangat yakin bahawa pil antivirus Pfizer yang diumumkan baru-baru ini akan berfungsi sebagai rawatan untuk jangkitan yang disebabkan oleh mutasi, termasuk Omicron.

Dalam kalangan pesakit yang baru dijangkiti, berisiko tinggi serta dirawat dalam tempoh tiga hari dari permulaan simptom, penggunaan pil Pfizer menunjukkan pengurangan kemasukan ke hospital atau kematian hampir 90 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 3:21 PM