GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Washington: Sambutan Hari Kesyukuran di Minnesota, Amerika Syarikat bertukar kecoh apabila seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut ditembak seorang remaja yang sedang merakam video media sosial dengan rakannya, kata polis.

Kejadian itu berlaku pada Khamis yang kebiasaannya diadakan sambutan Hari Kesyukuran.

Kejadian di Minnesota itu berlaku ketika mangsa berada di sebuah rumah manakala beberapa remaja sedang merakam video, kata polis melalui hantaran di Facebook.

Ketika kejadian, seorang remaja berusia 13 tahun dikatakan melepaskan tembakan lalu terkena mangsa dan terbunuh.

Bagaimanapun, identiti kedua-duanya tidak didedahkan.

Polis Brooklyn Park berkata, siasatan awal mendapati tembakan itu diklasifikasikan sebagai kemalangan namun remaja terbabit ditahan dan kini berada di pusat tahanan juvana.

Pada hari sama juga satu lagi kejadian berasingan membabitkan kanak-kanak lima tahun yang maut di Atlanta.

Ahli keluarga memberitahu WSB-TV, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu dikenali sebagai Khalis Eberhart, memukul pistol di atas kerusi dan ia meletup.

Jiran berkata, ayahnya berlari sambil memeluk mangsa ke arah paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Khalis, disifatkan sebagai kanak-kanak sangat bijak dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Sementara, di bandar Philadelphia, seorang lelaki maut selepas terkena tembakan peluru sesat ketika makan malam Hari Kesyukuran.

Mangsa, Edilberto Pelaez Moctezuma, 25, sedang makan malam bersama keluarga.

Polis berkata, Kevon Clarke, 19, didakwa atas tuduhan membunuh.

Katanya, remaja itu terbabit dalam pergaduhan selepas dia dan teman wanitanya diminta beredar dari rumah berhampiran.

Kematian itu antara 36 kes akibat tembakan pada Hari Kesyukuran, menurut menurut laman web Arkib Keganasan Senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 10:55 AM