NORTHWELL Health. FOTO Agensi
NORTHWELL Health. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Penyedia penjagaan kesihatan terbesar di New York, Northwell Health, memecat 1,400 kakitangan mereka yang menolak untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo sebelum itu mengumumkan pada Ogos lalu semua pekerja penjagaan kesihatan di New York termasuk kakitangan di hospital dan kemudahan rawatan jangka panjang, diminta untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 27 September lalu.

Dalam satu kenyataan, Northwell yang mempunyai 76,000 kakitangan mengambil pendekatan pantas dan agresif menuju matlamat pekerjanya divaksin sepenuhnya.

Portal Forbes melaporkan, syarikat itu mengekalkan lebih 97 peratus tenaga kerjanya dengan setiap pekerja diberi vaksin membolehkan penyedia menawarkan "penjagaan luar biasa kepada semua hospital kami, tanpa gangguan dan membolehkan semua kemudahan kami tetap terbuka dan beroperasi sepenuhnya. "

Seorang jurucakap Northwell mengatakan walaupun kesal kehilangan pekerja kerana arahan itu, memiliki tenaga kerja yang diberi vaksin sepenuhnya adalah "ukuran penting dalam tugas kita untuk melindungi kesihatan dan keselamatan kakitangan, pesakit dan masyarakat yang kita layani".

Polisi vaksin Northwell mewajibkan kakitangan klinikal dan bukan klinikal diberi imunisasi yang juga arahan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 10:15 AM