KEADAAN rumah El Chapo dicat di bahagian luar dan jubin baru dipasang di bilik mandi.
KEADAAN rumah El Chapo dicat di bahagian luar dan jubin baru dipasang di bilik mandi.
Agensi

Mexico City: Kerajaan Mexico akan memberikan sebuah rumah yang pernah dihuni pengedar dadah terkenal Joaquin El Chapo Guzman sebagai hadiah cabutan loteri kebangsaan.

Guzman menjadikan rumah berkenaan sebagai 'rumah selamat' pada 2014 ketika dia diburu pasukan keselamatan.

Namun, tiada lagi kamera pemantau di setiap sudut di luar rumah dan lubang pada bahagian tab mandi yang bersambung dengan terowong yang boleh digunakan penghuninya untuk melarikan diri

Institut Pemulangan Semula Barang Curi Kepada Rakyat (INDEP) juga sudah mengecat semula luar rumah berkenaan selain memasang jubin pada bilik mandi.

Kehidupan bebas Guzman pada 2014 tidak bertahan lama selepas dia berjaya ditahan pasukan marin di sebuah kondominium di Mazatlan, bandar peranginan di Sinaloa.

Lelaki itu juga pernah meloloskan diri dari penjara sekuriti tinggi di Mexico pada 2001.

Pada Julai 2015, dia menggunakan saluran di bilik mandi di selnya, yang digali menjadi terowong, sebelum menggunakan motosikal untuk meloloskan diri dari sebuah lagi penjara sekuriti tinggi.

Pasukan marin sekali lagi menahannya enam bulan kemudian di Sinaloa sebelum dia diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2019.

Menerusi lawan web INDEP, tiada sebarang maklumat lanjut diberikan kepada umum.

Rumah berkeluasan 2,800 kaki persegi itu terletak di kawasan kejiranan Libertad yang bermaksud kebebasan dengan kerajaan menganggarkan kediaman itu bernilai AS$183,000 (kira-kira RM761,000).

Rumah ini berjiran dengan sebuah kediaman lain.

Di satu bahagian lain, ada satu saluran pembetung bawah tanah yang mungkin disambung dengan terowong untuk kegunaan Guzman melarikan diri.

Pegawai INDEP yang enggan dikenali berkata, pihaknya terkejut apabila rumah itu mendapat perhatian.

Sebelum ini, pihak berkuasa cuba melelong kediaman itu pada tahun lalu dengan harga AS$130,000 (kira-kira RM560,000), namun tiada sesiapa yang berminat.

Presiden, Andres Manuel Lopez Obrador sudah mengarahkan untuk menjadikan hartanah yang dirampas sebagai hadiah loteri.

Ia juga merangkumi pelbagai hartanah mewah lain di ibu negara ini dan private box iaitu ruang penonton yang ekslusif di Stadium Azteca.

Ini juga pertama kali kerajaan Mexico menjadikan hartanah sebagai hadiah loteri kebangsaan dan hasil kutipan akan disalurkan kepada atlit negara itu yang meraih kemenangan di Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 6:31 AM