PEKERJA wanita yang dipecat kerana batuk di pasar raya di Nebraska. - FOTO Agensi
PEKERJA wanita yang dipecat kerana batuk di pasar raya di Nebraska. - FOTO Agensi
Agensi

Nebraska City: Seorang wanita Amerika Syarikat (AS) dibuang kerja selepas video mengenainya tidak memakai pelitup muka dan batuk di hadapan dua beranak ketika berada dalam pasar raya di Lincoln, Nebraska tular.

Wanita pertengahan usia yang dikenali Jane itu dipecat oleh majikannya iaitu syarikat Jerman menurut pengumuman syarikat itu di Twitter, minggu lalu, yang dilapor Mirror.

Pengguna Reddit, Jessabird berkata, dia sedang membeli-belah bersama anaknya ketika kejadian terbabit berlaku yang turut dianggapnya sebagai gangguan yang disengajakan.

Dalam video yang dikongsi, Jane dilihat menghampiri mereka dan batuk ke arah mereka beberapa kali serta bertanya mengapa mereka memakai pelitup muka.

AS ketika ini mewajibkan penduduknya memakai pelitup muka terutama di kawasan tertutup bagi mengelak penularan Covid-19.

"Dia bertanya sama ada saya sudah divaksin dan beritahu anak saya serta saya tidak perlu memakai pelitup muka kerana kami kelihatan sihat.

"Terdapat orang lain di pasar raya itu yang turut memakai pelitup muka, malangnya dia memilih saya dan anak saya," katanya yang memberitahu dia cuba mengelak dengan meneruskan beliannya, namun Jane tetap mengekorinya.

Jessabird berkata, dia turut meminta wanita itu menjauhinya dan menjelaskan tindakan itu adalah berbentuk gangguan.

"Tetapi dia hanya ketawa dan berulang kali kata 'awak comel apabila ketakutan'," katanya.

Susulan pendedahan Jessabird di laman sosial itu, aktivis dalam talian menjejaki wanita berkenaan yang dikenal pasti penduduk Arizona dan bekerja dengan syarikat Jerman, SAP.

Video itu diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 7:01 AM