Gambar hiasan. FOTO AFP.
Gambar hiasan. FOTO AFP.
BERNAMA

Washington: Pentadbiran Presiden Joe Biden memandang serius kejadian serangan dron mengorbankan seorang pekerja bantuan Afghanistan, yang mungkin disalah anggap sebagai pengganas, lapor Sputnik, memetik kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dalam sidang kongres.

"Saya tahu berkenaan serangan dron yang dimaksudkan, kita sedang siasat dengan teliti kejadian itu dengan terperinci untuk kita tahu apa sebenarnya yang berlaku atau tidak berlaku," kata Blinken ketika ditanya mengenai laporan berhubung tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh seorang anggota kumpulan pengganas Daesh-Khorasan pada Isnin.

Pada Jumaat, New York Times mendedahkan sebuah video Zemari Ahmadi yang bekerja di agensi bantuan AS, mungkin disalah anggap sebagai pengganas Daesh-Khorasan oleh tentera AS, sebelum serangan dron yang mengorbankan sepuluh orang awam, termasuk tujuh kanak-kanak pada 29 Ogos.

Ahmadi yang bekerja sebagai jurutera elektrik untuk badan bukan kerajaan AS Nutrition and Education International, keluar dari rumahnya pada 29 Ogos untuk menjemput rakan sekerja dan mengambil komputer riba milik ketuanya.

Menurut laporan itu tentera AS mengesyaki sedan putih yang dinaiki mangsa telah meninggalkan "rumah Daesh" serta meminta pemandu berhenti beberapa kali.

Tentera mungkin menganggap Toyota Corolla berwarna putih milik Ahmadi sarat dengan bahan letupan untuk digunakan menentang tentera AS di lapangan terbang Kabul.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 12:09 PM