VAKSIN Moderna. FOTO AFP
VAKSIN Moderna. FOTO AFP
Agensi

Honolulu: Cubaan seorang wanita belum divaksin untuk bercuti di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) tanpa perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari gagal apabila ditahan pihak berkuasa.

Huffpost melaporkan Chloe Mrozak, 24, ditahan Sabtu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K Inouye di sini, atas tuduhan salah laku kerana disyaki memalsukan dokumen vaksinasi.

Ia selepas pihak berkuasa mendapati ada kesalahan ejaan vaksin pada kad vaksinasi Mrozak kerana tertera perkataan Maderna bukan Moderna seperti sepatutnya.

Menurut stesen tempatan KHON-TV, ketika Mrozak kali pertama tiba di Hawaii pada 23 Ogos lalu, Pentadbir Program Perjalanan Selamat negeri melaporkan kad vaksinasi Covid-19 milik wanita itu mungkin palsu.

"Mrozak, penduduk Illinois divaksinasi di Delaware oleh dua anggota Pengawal Nasional yang dikenal pasti sebagai cpl wolf dan ssgt montey, berdasarkan kad vaksinnya," kata laporan itu.

Hasil semakan pihak berkuasa Hawaii dengan pegawai di Delaware tidak menemui rekod Mrozak sudah divaksin.

Pegawai bertugas juga gagal mencari tempahan di hotel tempat Mrozak memaklumkan bakal menginap dan tidak menyenaraikan maklumat perjalanan pulang.

Menyedari dirinya disyaki, Mrozak cuba meninggalkan lapangan terbang.

Ejen Khas William Lau dari Pejabat Peguam Negara menyatakan bahawa dia mengesan Mrozak dengan mencari di laman sosial dan menemui akaun Facebook (FB) menunjukkan dirinya sebagai model.

Beberapa gambar di dalam galerinya menunjukkan Mrozak mempunyai tatu di pinggang kiri.

Ketika pemeriksaan, seorang pegawai melihat kelibat wanita dengan tatu di kaunter Southwest Airlines di lapangan terbang Honolulu pada Sabtu dan menahannya ketika cuba terbang pulang.

Hawaii News Now melaporkan selepas penahanan itu, pihak berkuasa memaklumkan Mrozak memberitahu seorang pegawai bahawa dia diberi vaksin oleh doktor peribadi dan membayar caj bagi suntikan vaksin diterima.

Hakikatnya, suntikan vaksin Covid-19 diberi secara percuma di AS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 7:30 AM