ENZO (kiri) dan Daniela Dalmazzo (kanan). FOTO Agensi
ENZO (kiri) dan Daniela Dalmazzo (kanan). FOTO Agensi
Agensi

Florida: Cubaan pasangan suami isteri untuk ke luar negara bercuti bersama anak-anak mereka menggunakan pasport vaksinasi palsu gagal.

Enzo dan Daniela Dalmazzo mengambil penerbangan dari Florida ke Honolulu pada 11 Ogos mengunakan dokumen yang mengatakan mereka sudah selesai mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Mereka juga memalsukan kad untuk dua anak yang kedua-duanya masih terlalu muda untuk diberi suntikan yang sudah diluluskan untuk digunakan di Amerika Syarikat.

Itu membuat mereka melanggar peraturan kuarantin 10 hari oleh Hawaii untuk mereka yang belum divaksin atau dibuat ujian saringan Covid-19.

Pasangan itu didakwa atas pertuduhan memalsukan kad vaksin manakala Daniela pula menghadapi dua tuduhan tambahan kerana menggunakan rekod palsu untuk anak-anak.

Pendakwaan dilakukan oleh pejabat Peguam Negara Hawaii dan jika didapati bersalah pasangan itu boleh didenda RM21,190 (AS5,000) atau dengan setahun penjara.

Bercakap dengan WTVJ, ejen khas Joe Logan, dari pejabat Peguam Negara Hawaii, berkata pemeriksaan di lapangan terbang mendapati terdapat perkara tidak normal mengenai umur kanak-kanak dan vaksin.

Pasangan itu sudah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tindakan seterusnya.

Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas seorang bapa dan anak lelaki dituduh melakukan jenayah yang sama ketika mereka memasuki negara itu.

Norbert Chung, 57, dan Trevor Chung, 19, ditahan di lapangan terbang Honolulu kerana didakwa menunjukkan pasport vaksinasi Covid-19 palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 1:13 PM