PROGRAM vaksinasi Covid-19 di New Orleans, Louisiana. FOTO AFP
PROGRAM vaksinasi Covid-19 di New Orleans, Louisiana. FOTO AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) meluluskan suntikan dos tambahan vaksin Covid-19 khusus kepada golongan memiliki sistem imun yang lemah selepas penularan pantas varian Delta.

Pentadbiran Ubat-ubatan dan Makanan (FDA) AS mengeluarkan kelulusan penggunaan kecemasan bagi suntikan dos ketiga vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna.

"Negara ini memasuki gelombang pandemik Covid-19 dan FDA sedar individu memiliki sistem imun yang rendah begitu berisiko mengalami gejala teruk," kata pemangku Pesuruhjaya FDA, Janet Woodcock dalam satu kenyataan.

Jelasnya, dos tambahan itu khas untuk individu yang perlu pemindahan organ atau golongan memiliki sistem ketahanan tubuh lemah.

"Penerima yang sudah divaksinasi sepenuhnya, memperoleh perlindungan mencukupi dan tidak memerlukan dos tambahan vaksin Covid-19 buat masa ini," kata Woodcook.

Pihak berkuasa kesihatan AS membahaskan sama ada dos ketiga mungkin diperlukan berikutan tindakan sama oleh Israel.

Lebih 619,000 orang meninggal dunia di AS akibat Covid-19, dengan jumlah kes meningkat secara mendadak dalam beberapa bulan terakhir kerana penyebaran varian Delta.

Program vaksinasi menjadi perlahan terutama di kawasan konservatif di selatan dan barat tengah, kalangan orang muda, mereka yang berpendapatan rendah dan kaum minoriti.

Selepas keputusan FDA, Ketua Pegawai Eksekutif Moderna Stephane Bancel 'menjanjikan' kajian menunjukkan dos ketiga dapat membantu orang yang lemah sistem imun.

Vaksin Covid-19 diberikan percuma di Amerika Syarikat walaupun hanya separuh daripada jumlah penduduk sudah divaksin sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 10:19 AM