VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Pfizer- BioNTech, semalam mengumumkan akan membuat permohonan kepada pihak kawal selia bagi memberi kelulusan kepada syarikatnya mengeluarkan dos ketiga vaksin Covid-19.

Ia berikutan data awal daripada percubaan yang sedang dijalankan menunjukkan suntikan dos ketiga memberi antibodi pada tahap lima hingga 10 kali lebih tinggi terhadap strain virus Covid-9 dan varian Beta, yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan, berbanding dua dos pertama saja.

"Syarikat berharap dapat mengeluarkan data lebih jitu dalam jurnal dan merancang untuk menyerahkannya (data) kepada Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA), Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) dan pihak berkuasa lain dalam beberapa minggu akan datang," katanya.

Di samping itu, syarikat menjangkakan dos ketiga akan menunjukkan prestasi yang baik terhadap strain Delta yang sangat mudah menular dengan cepat dan menjadi dominan di seluruh dunia.

Syarikat itu kini dalam usaha mengembangkan vaksin khusus Delta, kumpulan pertama yang dihasilkan di kemudahan BioNTech di Mainz, Jerman.

Pfizer-BioNTech menjangkakan kajian klinikal akan bermula pada Ogos tertakluk kepada kelulusan pihak kawal selia.

Dos ketiga mungkin diperlukan dalam masa enam hingga 12 bulan selepas vaksinasi penuh.

Ia berdasarkan penurunan keberkesanan yang dilihat di Israel selepas enam bulan.

"Walaupun perlindungan terhadap penyakit yang serius tetap tinggi sepanjang enam bulan.

"Kita tetap menjangkakan penurunan keberkesanan terhadap simptom dari masa ke masa dan kemunculan varian-varian baharu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 9:29 AM