David ketika bertemu dengan kanak-kanak yang mengalami kekurangan nutrisi ketika mengunjungi pusat bantuan di selatan Madagascar. - Foto Ihsan UN
David ketika bertemu dengan kanak-kanak yang mengalami kekurangan nutrisi ketika mengunjungi pusat bantuan di selatan Madagascar. - Foto Ihsan UN
AFP

Washington: Akibat terlalu lapar dan perubahan iklim ekstrem, Madagascar dilanda kebuluran teruk hingga masyarakatnya terpaksa memakan belalang, kaktus, daun dan lumpur.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan bencana kebuluran yang melanda Madagascar akibat dari perubahan iklim ekstrem sehingga membuat kemarau berpanjangan selama bertahun-tahun.

Prihatin dengan situasi di Madagascar mendorong Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) David Beasley berkunjung ke negara itu dan menggambarkan situasi di sana seperti adegan dalam filem seram.

Pengarah Wilayah WFP Afrika Selatan Lola Castro yang menemani Beasley ke Madagascar mengatakan krisis kebuluran di Madagascar itu sangat menyayat hati dalam satu wawancara video dengan wartawan di ibu pejabat PBB di New York.

"Kita memiliki orang yang berada di ambang kebuluran dan tiada konflik.

"Hanya ada perubahan iklim yang paling buruk mempengaruhi mereka," kata Castro kepada AFP.

Beliau berkata, masyarakat Madagascar sangat memerlukan bantuan komuniti antarabangsa.

WFP mengatakan, Madagascar yang terletak di tenggara Afrika adalah negara pertama di dunia yang mengalami krisis kebuluran akibat perubahan iklim.

Situasi paling mengerikan berlaku di selatan Madagascar apabila lebih sejuta orang menghadapi sindrom kekurangan zat makanan.

Sebahagian besar penduduk Madagascar selatan bergantung kepada pertanian, penternakan dan perikanan.

Pemprosesan makanan turun secara drastik sejak 2019 dan kesukaran untuk memberikan bantuan ke negara kepulauan itu dan memasuki daerah yang paling teruk kesan kemarau kerana virus Covid-19. AFP

Badan bantuan juga berjuang menarik perhatian masyarakat terhadap krisis yang dihadapi Madagascar dengan kekurangan dana bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:30 AM