VAKSIN Covid-19 Johnson &Johnson. FOTO fail AFP
VAKSIN Covid-19 Johnson &Johnson. FOTO fail AFP
BERNAMA

Washington: Johnson & Johnson pada Khamis berkata, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (AS) menambah tempoh jangka hayat satu suntikan vaksin Covid-19 dari tiga bulan kepada 4.5 bulan, memandangkan tarikh luput jutaan dos yang tidak digunakan di seluruh negara akan tamat bulan ini, lapor Xinhua.

Keputusan itu berdasarkan data kajian penilaian kestabilan yang sedang dibuat, menunjukkan bahawa vaksin kekal stabil sehingga 4.5 bulan ketika disejukkan pada suhu 36 hingga 46 darjah Fahrenheit, atau dua hingga lapan darjah Celsius, menurut pengeluar ubat itu.

"Bukti kajian Fasa Tiga ENSEMBLE kami menunjukkan satu suntikan vaksin Covid-19 kami mempunyai keberkesanan, termasuk terhadap varian virus yang sangat mudah merebak. Hasilnya tetap konsisten terhadap semua bangsa dan etnik, usia, lokasi geografi dan komorbiditi," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, daripada 21.4 juta dos Johnson & Johnson yang diedarkan di seluruh negara pada Rabu, hanya 11.2 juta dos sudah diberikan.

Ini bermakna separuh daripada dos yang dikeluarkan untuk AS tidak digunakan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 12:50 PM