Foto hiasan
Foto hiasan
AFP

Montreal: Pihak berkuasa kesihatan Kanada mengumumkan akan memanjangkan tarikh luput hampir 50,000 dos vaksin AstraZeneca hingga satu bulan.

Dalam satu kenyataannya, persetujuan untuk memanjangkan jangka hayat vaksin dari 31 Mei hingga 1 Julai ini itu disokong oleh 'bukti saintifik'.

"Perubahan ini bagi memastikan persediaan dapat dibuat bagi membolehkan lebih ramai rakyat menerima vaksin," katanya.

Pada 22 Mei lalu, jurucakap kesihatan Kanada memaklumkan kira-kira 49,000 dos AstraZeneca dengan tarikh luputnya esok masih belum digunakan.

CBC melaporkan kebanyakan vaksin itu berada di wilayah Ontario.

Sebelum ini, pihak berkuasa kesihatan Kanada meluluskan lanjutan jangka hayat enam bulan untuk vaksin AstraZeneca.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar vaksin itu memaklumkan pada 27 Mei lalu bahawa kestabilan produk dan data pemodelan menunjukkan ia boleh digunakan dengan selamat dan berkesan selama satu bulan.

Beberapa negeri sebelum ini mengumumkan mereka menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana dakwaan vaksin itu boleh menyebabkan pembekuan darah.

Untuk mereka yang sudah menerima dos pertama AstraZeneca, pemberian dos kedua berjalan seperti yang dijadualkan.

Lebih 55 peratus daripada 38 juta penduduk Kanada sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19, manakala lima peratus sudah menerima dua dos.

Selain AstraZeneca, vaksin dari Pfizer, Moderna dan Johnson&Johnson turut digunakan di Kanada. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 9:55 AM