PASUKAN keselamatan dikejarkan ke lokasi kejadian. FOTO AFP
PASUKAN keselamatan dikejarkan ke lokasi kejadian. FOTO AFP
AFP

Washington: Seorang individu terbunuh dan seorang anggota polis cedera dalam kejadian tembakan di sekolah tinggi di Tennessee, pada Isnin.

Polis bandar Knoxville menerusi Twitter berkata 'beberapa mangsa tembakan' dilaporkan di Sekolah Tinggi Austin-East Magnet, sebelum menyertakan satu kenyataan di stesen televisyen tempatan bahawa seorang mangsa meninggal dunia.

Polis sebelum itu bergegas ke lokasi selepas menerima laporan lelaki bersenjata api di sekolah berkenaan, menurut Jabatan Polis Knoxville.

"Ketika menghampiri lelaki itu, beberapa tembakan dilepaskan. Seorang anggota polis terkena sekurang-kurangnya satu tembakan dan dikejarkan di pusat perubatan UT kerana kecederaan yang tidak membahayakan nyawanya," kata satu kenyataan.

"Seorang lelaki meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi ditahan untuk siasatan lanjut. Tiada mangsa lain diketahui."

Pihak berkuasa tempatan mengarahkan ahli keluarga berkumpul di stadium besbol berhampiran dengan sekolah berkenaan.

"Bangunan sekolah kemudian dipastikan selamat dan pelajar yang tidak terbabit kejadian diserahkan kepada keluarga masing-masing," tulis superintendan sekolah Knox County, Bob Thomas, menerusi Twitter.

Kejadian terbaru itu menjelang usaha Presiden Joe Biden untuk memperkenal cadangan untuk memperketat undang-undang kawalan senjata api di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 9:05 AM