PATUNG lilin Donald Trump yang dipamerkan di Louis Tussaud’s Waxworks di San Antonio, Texas.
PATUNG lilin Donald Trump yang dipamerkan di Louis Tussaud’s Waxworks di San Antonio, Texas.
Agensi

Washington: Pengurusan muzium patung lilin Louis Tussaud's Waxworks di San Antonio, Texas, menyimpan semula patung lilin bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Ia selepas patung itu sering menjadi mangsa tumbukan pengunjung.

The Guardian melaporkan, patung berambut perang itu mengalami pelbagai kerosakan akibat pukulan dan terdapat banyak kerosakan pada wajahnya.

Jurucakap muzium itu memberitahu besar kemungkinan patung Trump tidak dipamerkan semula di situ.

Ini kerana mereka kini menunggu patung lilin Presiden AS sekarang, Joe Biden siap diukir untuk digantikan dengan patung Trump.

"Apabila ia tokoh politik, serangan boleh menjadi masalah," kata Clay Stewart, pengurus wilayah Ripley Entertainment yang memiliki muzium itu.

"Kami selalu hadapi masalah dengan patung Presiden kerana tidak kira siapa pun Presiden sama ada Bush, Obama atau Trump, pelbagai ragam dan kerosakan dilakukan.

"Telinga (pada patung lilin) Obama pernah dicabut enam kali, manakala hidung (pada patung lilin) Bush dicucuk berulang kali," kata Stewart.

Sebelum ini, patung lilin Trump yang dipamerkan di satu lagi muzium patung lilin iaitu Madame Tussauds digayakan semula menjadi pemain golf berbanding persalinan sut gaya Presiden AS, sebelum ini.

Gambar sebelum ini menunjukkan kakitangan muzium lilin itu mendandan rambut presiden berkenaan, manakala jurusolek menata rias wajahnya.

Terdapat beg golf di sisi patung Trump dan beliau mengenakan topi merah popularnya yang tertulis Trump 2020 Keep America Great.

Dalam pada itu, muzium patung lilin Madame Tussauds di Berlin pula membuang patung lilin Trump ke dalam tong sampah sebelum Pilihan Raya Presiden AS tahun lalu. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 7:12 AM