DUA lelaki sedang merakamkan gambar di  air terjun Niagara Falls di Ontario. FOTO AFP
DUA lelaki sedang merakamkan gambar di air terjun Niagara Falls di Ontario. FOTO AFP
AFP

Ottawa: Pengembara ke Kanada kini perlu menjalani kuarantin di hotel sehingga tiga hari dengan perbelanjaan sendiri dan syarikat penebangan juga menangguhkan penerbangan ke destinasi selatan negara.

Perdana Menteri Justin Trudeau mengumumkan perkara itu pada Jumaat dalam usaha untuk mengetatkan lagi sekatan bagi menyekat penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, ketibaan individu ke Kanada perlu membayar sendiri kos hotel itu dan dikuarantin hingga tiga hari di bawah pengawasan ketat.

Ottawa juga meningkatkan ujian Covid-19 sementara syarikat penerbangan Kanada telah bersetuju untuk membatalkan penerbangan ke destinasi seperti Mexico dan Caribbean sehingga akhir April.

"Sekarang bukan masa untuk terbang," kata Trudeau.

Langkah itu diambil selepas pegawai kesihatan awam bimbang dengan penyebaran varian Covid-19 yang lebih cepat menjangkiti individu dan penambahan rakyat yang mengambil peluang untuk bercuti ke luar sempena musim sejuk ini.

Selama berminggu-minggu, Trudeau mendesak warga Kanada untuk membatalkan rancangan perjalanan yang akan datang serta memberi amaran.

Mulai minggu depan, semua penerbangan masuk ke Kanada akan diarahkan untuk mendarat di salah satu daripada empat lapangan terbang sahaja iaitu di Montreal, Toronto, Calgary dan Vancouver.

Selain ujian pra-ketibaan, pengembara perlu menjalani ujian PCR wajib pada waktu ketibaan.

Mereka perlu menunggu keputusan ujian di hotel yang ditentukan sehingga tiga hari dengan perbelanjaan mereka sendiri.

Sekiranya ujian negatif, mereka akan dibenarkan untuk menyelesaikan kuarantin 14 hari penuh mereka di rumah dengan diawasi dan penguatkuasaan yang akan ditingkatkan kata Trudeau.

Tambah beliau, mereka yang positif akan ditempatkan di pusat kuarantin kerajaan.

Kanada pada Mac tahun lalu menutup sempadannya kepada pengembara yang tidak mempunyai urusan penting serta turut mewajibkan kuarantin 14 hari.

Bagaimanapun kini, pemimpin wilayah meminta pemerintah persekutuan untuk mengetatkan lagi langkah dan penguatkuasaan selepas melihat lonjakan baru-baru ini dalam jumlah warga Kanada yang mengambil cuti musim sejuk di luar negara.

Sehingga Jumaat, negara ini mencatatkan lebih daripada 769,000 kes positif Covid-19 dengan 19,000 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 2:51 PM