PASUKAN terbabit dalam operasi menyelamat mangsa. FOTO AFP
PASUKAN terbabit dalam operasi menyelamat mangsa. FOTO AFP
AFP

Quito: Runtuhan salji di gunung berapi Chimborazo di Ecuador mengorbankan sekurang-kurangnya tiga pendaki dan menyebabkan tiga yang lain hilang, lapor pegawai kerajaan negara itu, pada Ahad.

Runtuhan itu menyebabkan 16 pendaki terperangkap pada ketinggian 6,100 meter, menurut saksi kejadian.

"Terdapat tiga pendaki yang masih hilang, tiga cedera manakala tujuh berjaya diselamatkan," kata pegawai bomba Quito dalam kenyataan.

Dalam laporan daripada perkhidmatan keselamatan negara itu ECU911 memaklumkan empat pendaki maut, manakala seorang cedera.

Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti identiti dan kewarganegaraan pendaki, namun akhbar El Comercio melaporkan semua mangsa adalah warga tempatan.

Runtuhan salji itu disebabkan keadaan cuaca dan bukan disebabkan sebarang aktiviti gunung berapi, menurut bomba.

Pasukan penyelamat, polis dan tentera dihantar ke lokasi kejadian untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 10:00 AM