KEMBAR berkenaan. FOTO Agensi
KEMBAR berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Brasilia: Dua gadis yang juga pasangan kembar dari Brazil maut selepas ditembak dan lebih mengejutkan, insiden itu disiarkan secara langsung menerusi Instagram (IG).

Daily Star melaporkan, rakaman video itu ditonton ribuan orang.

Mangsa yang kedua-duanya berstatus ibu dikenali sebagai Amalia dan Amanda Alves.

Mayat kedua-duanya ditemukan hanya beberapa jam selepas mereka ditembak mati di tepi jalan di belakang kompleks perumahan di Pacajus, di sini.

Amanda meninggalkan seorang anak perempuan berusia tiga tahun sementara, adik kembarnya, Amalia yang baru bergelar ibu meninggalkan bayi lelaki berusia enam bulan.

Susulan kejadian, suspek iaitu remaja lelaki dikenali Mateus Abreu, 17, ditahan polis dalam keadaan berlumuran darah.

Rakaman video menunjukkan detik-detik mengerikan apabila pasangan kembar itu duduk melutut bersebelahan satu sama lain dekat jalan yang kotor.

Sebuah laporan mendedahkan pasangan kembar itu dipaksa mengikat rambut mereka.

Abreu kemudiannya didakwa mengacukan pistol ke belakang kepala mereka sebelum melepaskan tembakan.

Walaupun belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Brazil berhubung motif pembunuhan itu, akhbar tempatan Jornal de Brasília melaporkan mangsa dibunuh kerana mereka 'tahu banyak perkara' mengenai kegiatan pengedaran dadah tempatan.

Penduduk setempat menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan mayat di lokasi kejadian.

Akhbar Brazil Diario do Noreste dalam laporannya mendedahkan suspek kes itu pernah ditangkap sebanyak tujuh kali sebelum ini.

Tangkapan itu berkait dengan tuduhan memiliki senjata api, kecurian dan kecederaan badan yang tidak disengajakan pada 2020 dan tahun ini.

Insiden itu berlaku sebulan selepas kes empat beranak dibunuh dengan kejam di negara Amerika Selatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:55 AM