EFE

Sao Paulo: Pakar di makmal Butantan bekerja tidak henti untuk mengumpul 20 juta telur untuk menghasilkan 40 juta dos vaksin Covid-19 buatan Brazil iaitu Butanvac.

Setiap hari, setengah juta telur ayam tiba di makmal di Sao Paulo sebelum saintis secara berhati-hati memeriksa kualiti embrio telur berkenaan.

Hanya yang 'sihat' akan dibawa ke peringkat seterusnya, di mana saintis menyuntik virus SARS-Cov-2 atau Covid-19 ke dalam telur itu.

Telur itu akan dieramkan untuk tempoh antara dua hingga tiga hari, dalam persekitaran suhu dan kelembapan yang dikawal.

Selepas 'dimasak' di dalam inkubator, telur itu akan disejukkan sebelum dipotong dan saintis akan mengeluarkan cecair pekat di dalamnya dengan virus Covid-19.

Kira-kira 11 hari kemudian, apabila virus itu sudah diaktifkan, bahan mentah itu sedia untuk digunakan.

Pada peringkat ini, sebatian ini dipindahkan ke makmal lain di mana bebuli vaksin itu dibungkus.

PROSES penghasilan vaksin Butanvac. FOTO EPA
PROSES penghasilan vaksin Butanvac. FOTO EPA

Butanvac adalah vaksin Covid-19 pertama dikeluarkan di Brazil dan sudah diluluskan oleh Agensi Kawal Selia Kesihatan negara itu, Anvisa.

Bagaimanapun, ujian vaksin itu masih dilaksanakan.

Penghasilan Butanvac adalah lebih murah berbanding vaksin yang diimport ke negara itu termasuk Coronavac, AstraZeneca dan Pfizer.

Bagaimanapun, menurut pakar, ia tidak bermakna ia kurang berkesan berbanding vaksin lain.

Brazil bercadang untuk memuktamadkan produk itu menjelang akhir tahun ini dan merancang untuk mengeksportnya ke negara lain.

Ketika ini, Butantan sudah menghasilkan tujuh juta dos vaksin berkenaan.

Ia merancang untuk menghasilkan sehingga 18 juta dos vaksin itu menjelang bulan depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 4:28 PM