GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Cape Town: Omicron, varian baharu Covid-19 yang dikesan di Afrika Selatan mencetuskan satu lagi kebimbangan bahawa lebih banyak bentuk patogen yang boleh berjangkit dan berbahaya.

The National News melaporkan Omicron diklasifikasikan sebagai varian yang membimbangkan (VOC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walaupun Omicron atau dikenali sebagai B.1.1.529 banyak ditemui di satu wilayah Afrika Selatan, varian itu juga merebak dengan lebih meluas termasuk ke Eropah.

Lebih membimbangkan adalah bilangan mutasinya yang besar, 50 secara keseluruhan dengan lebih daripada 30 adalah pada spike protein yang melekat pada sel manusia.

Pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia sentiasa menguji sampel Covid-19 untuk mengesan perubahan genetik dan mengenal pasti apabila varian itu sudah muncul.

WHO mengklasifikasikan varian kepada VOC, varian yang mempunyai kepentingan (VOI), varian bawah pemerhatian (VUM) dan varian yang sebelum ini dipantau.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) menggunakan sistem yang serupa.

Tiga ciri VOC adalah ia lebih mudah berjangkit, boleh mengelak perlindungan daripada vaksinasi dan menyebabkan penyakit yang lebih teruk atau tahan terhadap rawatan.

Mei lalu, WHO memperkenalkan sistem penamaan VOC dan VOI berdasarkan abjad Greek untuk mengakhiri stigma dan diskriminasi yang mengaitkan varian mengikut tempat ia mula dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:50 AM