SEKUMPULAN wanita di Mesir menyediakan biskut tradisional Kahk, sempena Ramadan tahun ini. FOTO EPA
SEKUMPULAN wanita di Mesir menyediakan biskut tradisional Kahk, sempena Ramadan tahun ini. FOTO EPA
AFP

Kaherah: Mesir pada Rabu mengumumkan sekatan pergerakan (lockdown) separa bagi mengekang lonjakan kes Covid-19, meliputi cuti sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menerusi arahan itu, pusat beli-belah dan restoran akan ditutup pada 9 malam, mulai Khamis sehingga 21 Mei.

Perdana Menteri Mostafa Madbouli dalam sidang media menerusi televisyen berkata, negara itu kini berdepan dengan gelombang penularan ketiga Covid-19.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyatnya untuk mengikut garis panduan kesihatan dan mendaftar untuk program vaksinasi.

Mesir yang menjadi negara Arab paling padat penduduk itu merekodkan hampir 232,000 kes Covid-19 dengan lebih 13,000 kematian.

"Anda mempunyai tanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga keluarga anda," katanya.

"Kita kini berada di tahap yang kritikal," katanya lagi.

Cuti sempena Aidilfitri yang menandakan akhir Ramadan adalah antara 12 Mei hingga 16 Mei.

Madbouli berkata, pantai, taman dan kemudahan rekreasi akan ditutup sepenuhnya ketika cuti lima hari itu.

Tiada konsert atau pesta besar-besaran termasuk perkahwinan dibenarkan, katanya.

Umat Islam dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid yang dibenarkan mengadakan solat berkenaan.

Dalam pada itu, Madbouli berkata, kira-kira 1.7 juta orang sudah didenda sejak beberapa bulan lalu kerana tidak memakai pelitup muka dan ratusan ribu shisha dirampas daripada kafe.

Mesir dijangka menerima 4.9 juta dos vaksin Covid-19 pada bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 10:51 AM