AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyindir Meghan Markle yang membuat kenyataan berhubung Pemilihan Presiden.

Trump pada Rabu dilaporkan berkata bahawa dia bukanlah peminat kepada Meghan dan 'mengucapkan semoga berjaya' kepada suami wanita itu, Putera Harry.

Meghan, bekas bintang siri 'Suits' dan Duchess of Sussex itu berkempen supaya rakyat AS keluar mengundi ketika program khas pada waktu perdana di saluran ABC.

Beliau dilaporkan memberitahu penonton: "Setiap empat tahun, kita diberitahu bahawa ia adalah pilihan raya paling penting. Tetapi pilihan raya kali ini adalah terpenting."

Apabila ditanya mengenai kenyataan Meghan itu, Trump memberitahu pemberita: "Saya bukan peminatnya (Meghan)", sebelum menambah: "Saya ucapkan semoga berjaya kepada Harry kerana dia memerlukannya".

Harry, yang tampil di samping Meghan pada penampilan pertama mereka di televisyen sejak membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada tugas rasmi sebagai anggota keluarga diraja Britain, turut berkata: "Menghampiri November, adalah penting untuk kita menolak ucapan berunsur kebencian, tidak tepat, unsur negatif dalam talian."

Bagaimanapun, pasangan itu tidak merujuk secara spesifik kepada Trump.

Mereka sebelum ini mengumumkan mengundur diri daripada tugas rasmi sebagai ahli keluarga diraja dan terbaharu, berpindah ke California bersama anak mereka, Archie yang berusia setahun.

"Apabila kita mengundi, ia adalah untuk menterjemahkan nilai yang kita pegang dan memastikan suara kita didengar," kata Meghan dalam program khas mengumumkan 100 individu paling berpengaruh 2020 majalah Time.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 9:09 AM