Agensi

Washington: Selepas melalui pembedahan selama 11 jam, sepasang kembar siam perempuan yang bercantum di bahagian dada di Michigan, Amerika Syarikat akhirnya dipisahkan.

Sarabeth dan Amelia yang berusia setahun dianggap melalui keajaiban kedua dalam hidup mereka.

Ia memandangkan pakar perubatan tidak menyangka mereka akan selamat ketika dilahirkan.

Portal Mirror melaporkan, ketika dilahirkan, kembar perempuan itu mempunyai dua pasang tangan, dua pasang kaki, namun berkongsi hati.

Bapanya, Phil memberitahu sebuah blog dia tidak percaya kedua-dua anaknya itu tidak lagi bercantum dan tidur di katil yang berbeza.

"Sarabeth dan Amelia adalah dua budak berbeza, dengan karakter serta personaliti sendiri," katanya.

ALYSON menunjukkan kembar siamnya yang sudah terpisah.
ALYSON menunjukkan kembar siamnya yang sudah terpisah.

Dalam pada itu, prosedur berkenaan membabitkan lebih 24 doktor daripada pelbagai bidang kepakaran dan jururawat.

Mereka mengambil masa dua jam hanya untuk mempersiap kembar itu bagi menjalani pembedahan.

Selain itu, mereka menggunakan model tiga dimensi dan kod warna untuk membezakan bahagian tubuh Sarabeth serta Amelia.

Untuk membolehkan kembar itu dibedah, pakar bedah plastik turut memasukkan alat khas bagi mengembangkan tisu.

Pakar kardiologi kemudian mengasingkan struktur di bahagian dada, sementara pakar paediatrik membahagikan hati dikongsi oleh pasangan kembar itu.

Pasukan sama turut menggunakan pewarna bagi memastikan bahagian hujung hati terbabit.

Sementara itu, ibu kembar berkenaan, Alyson berkata, dia tidak sabar untuk menyaksikan kedua-dua anaknya itu membesar.

"Saya tidak sabar melihat mereka merangkak dan berjalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 6:45 AM