DUTERTE. FOTO AFP
DUTERTE. FOTO AFP
AFP

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menawarkan diri untuk menjadi 'tikus makmal' bagi menguji keberkesanan vaksin Covid-19 dihasilkan Rusia.

Moscow berkata, ia berjaya membangunkan vaksin berkenaan yang diberi nama Sputnik V, dan kini berada di peringkat akhir ujian membabitkan 2,000 individu.

Bagaimanapun, saintis Barat sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kepantasan vaksin itu dihasilkan, membayangkan penyelidik mungkin mengambil jalan singkat.

Namun, walaupun timbul pelbagai andaian, Manila tetap menerima tawaran Rusia untuk turut serta dalam ujian klinikal, bekalan vaksin dan pengeluaran ubat itu, dan pihak berkuasa kesihatan Filipina mengatakan bahawa mereka akan bertemu dengan pengeluar ubat Rusia, Gamaleya.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengatakan bahawa vaksin itu selamat dan seorang anak perempuannya telah menerima suntikan.

Duterte juga menyatakan 'kepercayaan besar' terhadap usaha Rusia untuk menghentikan penularan.

"Saya percaya vaksin yang anda hasilkan benar-benar baik untuk manusia," kata Duterte, memuji Putin.

"Saya akan menjadi yang pertama menjalani eksperimen," katanya.

Jurucakap Duterte, Harry Roque mengatakan bahawa Duterte serius dengan kenyataannya.

"Dia sudah tua. Dia boleh mengorbankan nyawanya untuk orang Filipina," katanya.

Sehingga kini, terdapat lebih 143,000 kes jangkitan Covid-19 di Filipina, kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 8:03 PM