GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya akan meluluskan vaksin Covid-19 yang melepasi proses kelayakan yang ketat dan menyeluruh.

Ia susulan pengumuman Presiden Rusia Vladimir Putin bahawa negaranya sudah meluluskan vaksin didakwa dapat memberikan 'kekebalan mampan' terhadap virus itu.

Sehubungan itu, WHO sudah berhubung dengan Rusia berhubung perkembangan berkenaan.

"Pra-kelayakan untuk mana-mana vaksin membabitkan proses ketat termasuk meneliti prosedur keselamatan dan keberkesanannya," kata jurucakap WHO, Tarik Jasarevic menerusi taklimat dalam talian.

Rusia sebelum ini mendakwa sudah meluluskan penggunaan vaksin dikenali sebagai Sputnik V bagi Covid-19.

Vaksin itu dibangunkan oleh institut penyelidikan Gamaleya dengan kerjasama kementerian pertahanan negara berkenaan.

WHO sebelum ini mengumumkan ada 168 vaksin Covid-19 dibangunkan di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu, 28 daripadanya sudah memasuki peringkat ujian terhadap manusia.

Enam daripada 28 vaksin itu sudah memasuki fasa ketiga ujian klinikal.

Bagaimanapun, badan dunia itu memaklumkan Sputnik V hanya baru memasuki fasa satu.

Dalam pada itu, Ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia, Kirill Dmitriev berkata, fasa ketiga pembangunan vaksin berkenaan akan bermula Rabu ini.

Beliau juga memberitahu bahawa pengeluaran dijangka bermula September ini dan 20 negara sudah membuat tempahan membabitkan lebih satu bilion dos.

Dalam pada itu, Jasarevic berkata, mana-mana negara mempunyai bidang kuasa menerusi agensinya untuk meluluskan penggunaan vaksin dan ubatan.

Bagaimanapun katanya, WHO mempunyai garis panduan tersendiri bagi tujuan itu.

"Untuk mendapatkan kelulusan WHO, kami perlu meneliti aspek keselamatan dan menilai data daripada ujian klinikal. Ini membabitkan mana-mana vaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 9:34 AM