KOKAIN yang disorok di dalam biji kopi.
KOKAIN yang disorok di dalam biji kopi.
Agensi

ROM: Nama watak ketua mafia dalam filem John Wick: Chapter 2 menjadi petunjuk kepada aktiviti penyeludupan dadah menerusi perkhidmatan kurier di Itali.

Ia terbongkar selepas pihak berkuasa mengesyaki sesuatu apabila mendapati penerima bungkusan berkenaan bernama Santino D'Antonia.

CNN memetik kenyataan polis tempatan berkata, bungkusan itu ditemui pegawai penyiasat selepas ia tiba di Lapangan Terbang Malpensa, Milan.

Pegawai kastam bertugas kemudian menyedari nama penerima tertera pada bungkusan itu adalah watak dalam filem Hollywood.

Sebaik ia dibuka, pegawai terbabit menemui 500 biji kopi yang dibersihkan dan mengandungi kokain. Ia ditutup dengan pita berwarna coklat gelap.

Pemeriksaan mendapati dadah berkenaan seberat 130 gram.

Menurut polis, bungkusan berkenaan dikesan dikirim dari Colombia dan mahu dihantar ke satu alamat di Florence.

Susulan kejadian, pihak berkuasa menahan seorang lelaki Itali berusia 50 tahun yang datang menuntut bungkusan berkenaan.

Dia tidak asing lagi bagi polis kerana ada rekod kesalahan lampau berhubung penyalahgunaan dadah.

Awal bulan ini, Polis Itali merampas amphetamine seberat 14 tan metrik yang didakwa dihasilkan kumpulan Daish di Syria.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, ia cuba diseludup menerusi kargo kapal yang dihantar ke pelabuhan Salerno di barat daya Itali.

Selain itu, polis turut merampas 84 juta pil dengan nilai pasaran 1 bilion Euro (RM4.87 bilion).

Ia rampasan dadah terbesar di dunia dari segi nilai dan kuantiti, setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 5:59 AM