KEJADIAN rompakan berkenaan yang tular di Twitter. FOTO Twitter
KEJADIAN rompakan berkenaan yang tular di Twitter. FOTO Twitter
Agensi

KARACHI: Perompak baik hati. Ia mungkin istilah yang sesuai untuk menggambarkan kejadian 'rompakan tak jadi' yang berlaku di daerah ini.

Berdasarkan klip video yang tular di laman sosial, terdapat dua perompak tiba-tiba berubah hati dan memulangkan semula barangan berharga daripada seorang penghantar makanan.

Dalam video berdurasi satu minit itu, kelihatan dua perompak menunggang motosikal berhenti di sebelah seorang pekerja penghantar makanan.

Dalam rakaman tular itu, seorang perompak turun daripada motosikal dan meminta barangan berharga daripada lelaki itu.

Bagaimanapun, dapat dilihat, pekerja penghantar makanan itu mengatakan sesuatu sebelum perompak kembali memulangkan barangannya dan memeluk lelaki itu.

Pekerja penghantar makanan itu dilihat menangis dan dua perompak itu kemudian melarikan diri.

Menurut media tempatan Pakistan, perompak itu seolah-olah cuba menakut-nakutkan lelaki itu sebelum memutuskan untuk tidak mencuri.

Komen di Twitter menunjukkan ramai memuji tindakan 'perompak baik hati' dan menjadi emosional menonton klip itu.

Ada yang percaya perompak itu pasti terpengaruh dengan situasi Covid-19 yang sedang berlaku dan memahami kesukaran dialami orang lain.

Ciapan @aaqibrk berkata, 'tindakan kecil yang baik membuat kita menangis. Ini banyak memberitahu tentang jenis persekitaran beracun di mana kita tinggal. Perkara kecil memberi perbezaan besar. Kemanusiaan adalah apa yang akan menyelamatkan kita. Bertindaklah dengan baik.'

Ciapan @Waqassaeed_, pula, "kami tinggal di sebuah negara di mana orang berpendidikan menjual plasma, tetapi pencuri terharu dan menangis."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 7:55 AM