ABDUL Mabud Chowdhury. FOTO Facebook
ABDUL Mabud Chowdhury. FOTO Facebook
Agensi

LONDON: Seorang doktor yang sebelum ini merayu Perdana Menteri Britain Boris Johnson menyediakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada kakitangan barisan hadapan, meninggal dunia akibat Covid-19.

The Guardian melaporkan, mangsa, Abdul Mabud Chowdhury yang sebelum ini bertugas sebagai pakar perunding urologi di hospital di Hackney, di timur London.

Beliau meninggal dunia selepas menerima rawatan 15 hari di Queen’s Hospital, Romford.

Bulan lalu, beliau memuat naik hantaran di Facebook yang ditujukan kepada Johnson berhubung keperluan mendesak PPE untuk kakitangan barisan hadapan.

Selain itu, dia menggesa ujian saringan Covid-19 yang pantas untuk kakitangan kesihatan.

Beliau menulis: “Perdana Menteri yang dihormati, Boris Johnson, sila pastikan PPE disediakan segera untuk pekerja kesihatan.”

Beliau juga memberitahu Johnson, pekerja kesihatan ‘bersentuhan langsung dengan pesakit’ dan mempunyai ‘hak asasi seperti orang lain untuk hidup dalam dunia ini tanpa penyakit dengan keluarga dan anak’.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Hackney, Philip Glanville, menyifatkan Chowdhury sebagai pejuang.

Chowdhury, 53, yang dilahirkan di Bangladesh, meninggalkan isteri dan dua anak.

Beliau tiada sejarah masalah kesihatan.

Sementara itu, Persatuan Doktor Islam Britain dalam satu kenyataan pula berkata, kematian Chowdhury amat menyedihkan.

Media sebelum ini melaporkan empat doktor lain yang beragama Islam di United Kingdom meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19.

Mereka adalah Alfa Sa‘adu, Amged el-Hawrani, Adil El Tayar dan Habib Zaidi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 7:00 AM