IBU bapa Darcy perlu mengeluarkan duit banyak hanya untuk melawatnya yang dirawat di hospital. FOTO AGENSI
IBU bapa Darcy perlu mengeluarkan duit banyak hanya untuk melawatnya yang dirawat di hospital. FOTO AGENSI
Agensi

SUAMI isteri terpaksa membelanjakan 5,000 Pound Sterling (kira-kira RM27,220) untuk membayar caj parkir setiap kali melawat anak mereka yang dirawat di Hospital Sheffield, di sini.

Mirror Online melaporkan jumlah itu belum termasuk 7,000 Pound Sterling (kira-kira RM38,108) yang perlu disediakan mengisi petrol kereta.

Difahamkan, Jay dan isterinya, Jo menetap di Louth, Lincs dan perlu berulang alik setiap dua minggu sekali ke hospital dengan jarak sejauh 267 Kilometer (km).

Namun, pasangan berkenaan tiada pilihan kerana perlu melawat anak mereka, Darcy Sturman, 11, yang menghidap kanser darah dan leukimia sejak September 2017.

Menurut Jay, hanya 26 petak parkir disediakan di hospital berkenaan tetapi lot biasa selalunya penuh dengan kenderaan pelawat lain.

“Jadi, kami tiada pilihan kecuali meletak kenderaan di ruang parkir berbayar dengan caj 16 Pound Sterling (kira-kira RM87) sehari.

“Sekalipun kerajaan memberi parkir percuma kepada ibu bapa yang mempunyai anak berpenyakit mulai bulan depan, saya tidak nampak akan ada perubahan kerana tetap mengeluarkan duit sendiri.

“Masalah kewangan juga memaksa saya menggunakan kad kredit untuk mengisi petrol hingga dibebani hutang dan ia tidak adil buat golongan seperti kami,” katanya yang juga bapa kepada dua anak.

Menurut Jay, selain caj parkir, dia dan isteri juga perlu menanggung kos sebanyak 100 Pound Sterling (kira-kira RM544) setiap minggu untuk makanan Darcy di hospital selain menjual kereta lama bagi mengurangkan beban.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:01 AM