TAMBAK Johor. FOTO Arkib NSTP
TAMBAK Johor. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

SEKATAN sempadan baharu oleh Singapura terhadap pengembara termasuk dari negara Asia Tenggara tidak membabitkan laluan laut serta darat antara Singapura dan Malaysia.

Ia membawa maksud rakyat kedua-dua negara boleh melakukan perjalanan dari kedua-dua arah seperti biasa.

Pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai Covid-19 Lawrence Wong berkata, meskipun perintah itu terpakai kepada seluruh negara Asia Tenggara, satu persetujuan berasingan disediakan untuk Malaysia menerusi kumpulan kerja bersama dua hala.

Pertimbangan khusus diberikan kepada Malaysia berdasarkan jarak yang dekat dan kesalingbergantungan yang tinggi antara kedua-dua negara.

“Kita sememangnya perlu mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan jumlah orang dan kenderaan yang tinggi keluar masuk dari semua pusat pemeriksaan ini,” katanya semasa mengumumkan langkah tambahan yang diambil Singapura, hari ini, bagi menangani situasi Covid-19.

Berkuat kuasa pada 11.59 malam hari ini, semua pengembara yang memasuki Singapura dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara Asia Tenggara,

Jepun, Switzerland atau United Kingdom dalam tempoh 14 hari akan diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN).

Wong, yang juga Menteri Pembangunan Negara berkata, di laluan darat sahaja, sejumlah 200,000 orang bergerak melalui pusat pemeriksaan setiap hari dan pengenaan syarat 14 hari SHN akan menyulitkan keadaan serta menimbulkan begitu banyak gangguan bagi kedua-dua negara.

“Jadi syarat 14 hari yang dikenakan adalah tidak praktikal untuk kesemua pengembara ini dan kami perlu melihat langkah berjaga-jaga yang lain seperti memeriksa keadaan kesihatan mereka. Jadi perbincangan masih berlangsung antara kedua-dua pihak,” katanya.

Perintah perjalanan terkini itu terpakai kepada Penduduk Singapura, pemegang Pas Jangka Panjang dan pelawat jangka pendek namun bukan mereka yang melakukan transit di Singapura tanpa keluar dari kawasan transit.

Selain itu, mereka perlu memberikan bukti di mana mereka akan menjalani tempoh 14 hari SHN, contohnya tempahan hotel yang meliputi keseluruhan tempoh itu, atau tempat kediaman yang mereka atau anggota keluarga mereka miliki.

Mereka juga mungkin akan diambil sampel untuk ujian bagi Covid-19, meskipun tanpa mengalami gejala kerana berdepan risiko jangkitan komuniti di negara asal dan bukti kes-kes yang diimport dari kesemua negara ini ke Singapura.

Selain syarat yang dikenakan SHN, mulai 11.59 malam hari ini, semua pelawat jangka pendek dari mana-mana negara Asia Tenggara perlu mengemukakan maklumat yang diperlukan mengenai keadaan kesihatan mereka kepada Misi Luar Negara Singapura di negara di mana mereka menetap sebelum tarikh perjalanan.

Ia perlu diluluskan Kementerian Kesihatan Singapura sebelum perjalanan dilakukan ke negara itu dan kelulusan akan disahkan pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di pusat pemeriksaan Singapura.

Pelawat jangka pendek yang tiba di Singapura tanpa kelulusan yang diperlukan akan dilarang memasuki negara itu dan oleh yang demikian, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan kelulusan tersebut sebelum membuat tempahan perjalanan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 10:21 AM